Thursday, September 20, 2007
MODEL KERAJAAN ISLAM
Oleh Dato Haji Harun Taib

Muqaddimah


Matlamat penubuhan Kerajaan Islam tidak dapat tiada mestilah disandarkan kepada contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW dan juga kepada corak pemerintahan Khulafa’urrasyidin yang telah terbukti berjaya memerintah hampir sepertiga dunia.


Para pengkaji sejarah samada yang beragama Islam atau sebaliknya memperakui kewibawaan yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Islam di zaman kegemilangannya.


Ramai antara mereka yang mengaitkan kejayaan dunia hari ini dalam bidang ilmu sains dan teknologi dan falsafah yang berkait dengan ilmu itu sendiri adalah bersumberkan dari kecemerlangan ilmu yang dicapai oleh umat Islam di zaman keagungannya.


Matlamat


Model sebuah Kerajaan Islam yang hendak dirangka mestilah berpakaian kepada asas-asas berikut:


- Agama yang menjadi ikutan

- Kerajaan yang berdaulat

- Keadilan sejagat- Keselamatan awam

- Kerajaan berkebajikan

- Pembangunan ekonomi yang berkekalan

- Kepimpinan yang berpandangan jauh

- Perancangan yang berwawasan akhirat


Rangka Perlaksanaan


Dalam usaha untuk merealisasikan matlamat yang digariskan di atas maka sesebuah Kerajaan Islam mestilah:


Menjaga Agama


Untuk mencapai tujuan ini beberapa jabatan untuk menyelaras hal ehwal tarbiyah dan dakwah mestilah diwujudkan. Antaranya ialah Jabatan Dakwah dan Pendidikan yang bertanggungjawab menetukan sukatan pelajaran yang perlu diikuti oleh institusi-institusi pendidikan bermula dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi agar setiap individu yang melalui peruses pendidikan tersebut dapat memahami ajaran Islam yang sebenar dan bersedia menghayati setiap pengajarannya.


Faktor-faktor luaran, sokongan dan sampingan juga penting dalam mempastikan keberkesanan serta kejayaan sesuatu system yang hendak dilaksanakan.


Oleh itu perkara-perkara seperti suasana pembelajaran yang sesuai, peralatan yang mencukupi dan tenaga yang berkebolehan mestilah diberi penekanan.


Pihak kerajaan mesti mampu membuat ramalan keperluan tenaga mahir pada masa akan datang agar persediaan dapat dibuat lebih awal seperti pemilihan mata pelajarna dan menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi, tidak sebagaimana yang berlaku sekarang di mana banyak terjadi kes-kes penganggur kehormat – ada jawatan tiada kerja.


Sehubungan dengan ini juga pihak kerajaan mestilah dapat mengira bilangan keluaran institusi pengajian tinggi dalam setiap bidang yang diceburi agar pekerjaan yang sesuai dapat disediakan untuk mereka.


Pihak kerajaan juga mestilah mengamalkan konsep pendidikan untuk semua tanpa mengira umur yang mana ianya memerlukan tempat belajar yang mencukupi. Suatu sukatan minima mestilah digubal agar setiap rakyat berpeluang mendapat pendidikan minima ini. Insentif mestilah diberikan kepada individu-individu yang berkemampuan untuk membuat kajian dan pembangunan (R&D) dalam semua bidang agar Dakwah Islamiyyah dapat bersaing dengan mana-mana negeri dalam negara dalam semua bidang.


Dalam bidang dakwah, pihak kerajaan bertanggungjawab memastikan seruan Islam sampai ke seluruh jajahan takluk.


Bukan sahaja menjadi tanggungjawab utama bagi pemerintah untuk memandu rakyat menerima Islam seterusnya memluk Islam tetapi sekurang-kurangnya ajran Islam mesti sampai kepada setiap individu samada dalam bentuk ilmiyyah mahupun praktikal.
Oleh kerana suasana umat Islam hari ini majoritinya tidak memahami ajaran Islam dengan lengkap, maka tugas dan skop badan dakwah adalah sangat luas. Kursus-kursus dan seminar-seminar mestilah kerap diadakan agar semua lapisan rakyat termasuklah yang telah lewat usia serta melepasi umur pengajian berbentuk formal masih dapat diisikan dengan ilmu-ilmu asas.
Jabatan dakwah juga bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada pelancong-pelancong yang bukan Islam dalam bentuk yang sewajarnya. Pegawai-pegawai kerajaan yang bukan Islam (jika ada) mestilah juga didedahkan dan ditaklimat dengan system pentadbiran Islam yang sempurna.


Memandangkan kepada tugas yang banyak dan berat di bawah bidang tugas Dakwah, maka tenaga-tenaga mahir dalam bidang berkenaan (Ulama’) mestilah disediakan secukupnya dan mereka hendaklah melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran untuk berhadapan dengan golongan sekular dan orang bukan Islam dari berbagai peringkat dan kebolehan serta berlatar belakang agama yang berbeza.


Masjid-masjid dan surau-surau mestilah sentiasa diisi dengan kuliah-kuliah secara berterusan. Ianya hendaklah disusun secara sistematik agar keseluruhan ilmu Islam itu dapat disebarkan melalui institusi-institusi yang tidak formal ini.


Dengan cara demikian adalah dirasakan syi’ar pneyebaran ilmu akan bersemarak, masalah buta agama Insyallah akan dapat diatasi.


Mengurus perbendaharaan


Untuk tujuan ini suatu jabatan bagi mengawasi kemasukan dan keluaran wang negeri mesti diwujudkan.


Ianya bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesucian dan kebersihan sumbernya tetapi bertanggungjawab juga dalam mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam proses perolehan dan perbelanjaan.


Terlebih dahulu pihak kerajaan mesti mengenal pasti sumber-sumber kewangan dan juga punca-punca yang boleh mendatangkan sumber kewangan serta menyenaraikan syarikat-syarikat yang urusannya berkait rapat dengan sumber kewangan.


Kerajaan mestilah mengawasi sumber-sumber penting yang menjadi punca utama pendapatan negeri seperti gas dan petroleum, balak, minyak sawit, sektor pembuatan dan sebagainya.
Sejajar dengan matlamat untuk mengembangkan ekonomi secara berkekalan, pihak kerajaan mestilah juga sentiasa memikirkan alternatif-alternatif sekiranya sumber-sumber utama dan sektor-sektor utama ekonomi menunjukkan tanda-tanda kemerosotan di samping sentiasa berusaha menambahkan pendapatan negara.


Sebagai contoh, kilang penapis minyak yang sedia ada mungkin suatu hari nanti tidak akan beroperasi lagi lantaran kehabisan hasil petroleum, tetapi jika kilang tersebut dibina secara besar sehingga dapat menjadi alternatif bagi negara pengeluar minyak mentah bagi memproses minyaknya, maka kilang tersebut masih mampu menseimbangkan pertambahan ekonomi negeri dan tidaklah menjadi gajah putih setelah kehabisan minyak.


Sektor-sektor pertanian dan perikanan mestilah diusahakan secara lebih meluas agar ianya bukan sekadar untuk menyara diri pengusahanya sahaja, tetapi ianya juga dapat menyara negeri agar pengaliran keluar wang dalam bentuk import dapat dikurangkan.
Pihak pentadbir kewangan mestilah bijak menasihati kerajaan agar tidak ghairah dengan peningkatan pembangunan yang mana perbelanjaan seboleh-bolehnya tidak melebihi kemasukan.


Setiap projek ekonomi yang hendak diceburi mestilah mengambil kira masalah umat dan implikasi social dari memikirkan keuntungan untuk negeri semata-mata.


Satu lagi sumber utama kewangan ialah zakat. Pengurusan zakat hendaklah efisyen dan bersifat professional.


Ianya bukan sahaja sebagai sumber kewangan tetapi juga merupakan salah satu Rukun Islam. Penyempurnaan ibagat ini secara menyeluruh bergantung kepada kecekapan pengurusannya.
Pihak kerajaan hendaklah mengenal pasti mana-mana individu, badan-badan korporat, badan-badan perniagaan dan institusi-institusi kewangan yang layak membayar zakat dan seterusnya mengambil langkah sewajarnya.


Ini adalah kerana ianya bukan sahaja melibatkan kewangan yang merupakan milik kerajaan dan asnaf-asnaf yang berhak menerimanya, tetapi yang lebih penting ianya adalah termasuk dalam ruang lingkup amar ma’ruf nahi munkar.


Bayangkan Umar bin Abdul Aziz ianya dapat membiayai segala projek-projek pembangunan negara, membayar kos pengurusan dan dapat menyediakan modal bagi fakir miskin untuk membuka perniagaan sendiri sehingga tiada lagi yang layak menerima zakat.


Badan ini hendaklah bekerjasama dengan Unit Ibadah untuk memudahkan proses pemungutannya dan juga dengan Unit Dakwah bagi menyedarkan rakyat tentang kewajipan menunaikannya.


Suatu perkara yang menjadi isu dalam mana-mana pentadbiran ialah masalah imbuhan atau pengajian. Bahagian kewangan perlu membuat kejian berkenaan perkara ini agar ianya dapat diselaraskan di semua peringkat sesuai dengan keupayaan kewangan negeri.


Antara perkara yang mesti diambil kira ialah kelulusan, bidang tugas, tanggungjawab kerja, tanggungan keluarga, taraf hidup, had minima keperluan asasi rakyat dan perkara-perkara lain lagi yang difikirkan merupakan faktor dalam menentukan nilai imbuhan pegawai.


Mentadbir urusan Ibadat


Dalam melaksanakan urusan ini, pihak kerajaan mestilah menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan bagi memudahkan rakyat mengerjakannya. Dalam hal sembahyang, pihak kerajaan mestilah menyediakan tempat ibadat yang cukup beserta dengan imam-imam yang layak untuk memimpin serta meyampaikan khutbah dengan berkesan agar peringatan mingguan tentang addin itu benar-benar dapat difahami dan dihayati. Bahagian ini juga bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas mereka yang meninggalkan sembahyang.


Dalam hal puasa, oleh kerana ianya bersifat peribadi, tidak banyaklah tanggungjawab pihak kerajaan dalam mempastikan perlaksanaannya. Walau bagaimanapun adalah suatu tindakan yang agas wajar sekiranya pihak kerajaan mengambil inisiatif menyediakan juadah berbuka puasa bagi musafir dan juga faqir miskin yang tidak berumah kediaman.


Berkenaan dengan orang-orang yang meninggalkan puasa seperti juga sembahyang, suatu badan perlu diwujudkan bagi menanganinya, mungkin juga ianya ditangani oleh unit yang sama seperti kes orang-orang yang meninggalkan sembahyang dan ibadah-ibadah lain kerana ianya seharusnya bersifat mendidik, bukan semata-mata menghukum.


Berkenaan dengan zakat, perkara ini perlu diambil berat lebih dari yang lain kerana ianya ada hubungan kemanusiaan atau tanggungjawab social. Setelah penerangan yang secukupnya disampaikan kepada rakyat, pihak kerajaan mestilah menyediakan tenaga yagn cukup untuk tujuan ini.


Badan yang menguruskan zakat mestilah bersedia pada bila-bila masa untuk keluar memungutnya jika diperlukan bukannya menunggu pembayar zakat datang ke pejabat.
Oleh kerana harta zakat adalah dalam pelbagai bentuk: wang, hasil tanaman, ternakan, penilaian barangan emas, perak dan sebagainya, maka satu unit lain perlu diwujudkan bagi menyelaraskan penjagaan, penilaian serta pembahagiannya.


Sementara bahagian yang diperuntukkan kepada kerajaan mestilah ditadbir secara bijaksana kerana ianya termasuk dalam sumber kerajaan bagi tujuan pembangunan danpengurusan.
Manakala pengurusan yang berkait dengan ibadah haji pula, pihak kerajaan mestilah menyelaras semua perkara-perkara yang berkait dengannya, bukannya turut sama mengaut untung dari jamaah haji dan menyekat mana-mana orang perseorangan atau syarikat lain untuk menguruskannya.


Pihak kerajaan sepatutnya memudahkan segala urusan yang berkait dengan ibadat haji dengan memberi dorongan serta menolong mana-mana syarikat (jika diperlukan) dalam usaha untuk mendapatkan visa, jadual penerbangan ataupun penempatan.


Menegakkan keadilan


Tugas menegakkan keadilan ini merupakan suatu tugas yang sangat berat dan penting. Islam itu sendiri antara lainnya diasaskan di atas dasar keadilan. Tiada keadilan tanpa Islam dan tidak wujud keadilan di luar Islam.


Begitulah besarnya bidang tugas badan yang bertanggungjawab menegakkan keadilan. Antara tugas yang utama dalam usaha untuk menegakkan keadilan ialah membela puak, golongan atau mana-mana individu yang dizalimi.


Mahkamah mestilah benar-benar bersifat adil. Dalam hal yang demikian utnuk mempastikan sesuatu kes yang dihadapkan ke mahkamah itu mendapat pengadilan yang tidak berat sebelah atau tersilap, suatu badan lain perlu diwujudkan untuk menyiasat yang dipanggil Hisbah.


Badan ini juga bertindak mengawasi pasar-pasar supaya tidak berlaku penipuan dari segi penetapan harga, penukaran barangan dan sebagainya.


Jika berlaku perbalahan atau pertikaian yang diadukan ke pihak berkuasa maka badan yang ditugasksn mestilah melakukan penyiasatan secara bebas untuk menyelesaikannya secara adil mengikut pandangan Islam.


Yang lebih penting dari itu ialah peraturan yang menjadi pengawal kepada keharmonian hidup bermasyarakat mestilah sebagaimana yang termaktub dalam Kitabullah dan Sunnah Rasulullah – yakni Hudud, Qisas dan Ta’zir.


Menegakkan keamanan


Seperti juga keadilan, keamanan merupakan satu lagi sinonim bagi Islam kerana Islam itu antara lainnya bererti selamat atau sejahtera.


Oleh itu langkah-langkah yang sewajarnya mestilah diambil untuk memastikan keamanan bagi semua dari sudut social, ekonomi, politik, perundangan, makanan dan tempat tinggal.


Pihak polis yang biasanya ditugaskan untuk menjaga keamanan sesuatu daerah mestilah benar-benar memainkan peranannya kerana mereka sebenarnya bukan sahaja menjaga keamanan dalam erti kata agar tidak berlaku huru-hara atau rusuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka sedang mempertahankan keluhuran ajaran Islam itu sendiri.


Pihak berkuasa mestilah cekap dalam merisik suasana agar bibit-bibit negatif yang wujud dalam masyarakat yang boleh menggugat keamanan dapat ditangani segera.


Segala unsur-unsur yang dapat mendorong masyarakat untuk memberontak mestilah dilenyapkan, ini bererti segala aduan rakyat tentang apa sahaja mestilah disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya.


Pihak penguatkuasa mestilah bersedia untuk berhadapan dengan mereka dengan penuh bijaksana melalui proses perundingan agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini kerana musuh Islam wujud di mana-mana dan akan cuba membuat huru-hara tanpa sebarang sebab yang munasabah.


Satu unit perlu wujud untuk mengadakan kursus-kursus kepada anggota dan pegawai penguatkuasa berkenaan tugas dan tanggungjawab mereka yang berat ini. Mereka juga mestilah sentiasa diisi dengan ilmu-ilmu agama dan diperingatkan tentang tugas sebagai amanah kerana mereka terdedah dengan sogokan rasuah dan sebagainya.


Termasuk juga dalam ruang lingkup menjaga keamanan perkara-perkara yang boleh menimbulkan huru-hara sesebuah kerajaan.


Segala bentuk ajaran yang menyeleweng yang biasanya akan mempengaruhi masyarakat secara negatif mestilah dihapuskan segera. Pengembangan ideology yang bertentangan dengan Islam yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian juga perlu dibendung.


Peluang-peluang pekerjaan hendaklah sentiasa mencukupi ataupun kadar pengangguran mestilah di tahap minima kerana antara yang menjadi sebab kepada rusuhan masyarakat ialah masalah pengangguran.


Kekurangan makanan juga menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat menentang pemerintah, oleh itu keselamatan makanan (food security) mestilah dijadikan agenda penting dalam pentadbiran.


Masalah perpaduan kaum juga tidak boleh dipandang ringan dalam sesebuah masyarakat majmuk. Negara kita bukan sahaja bermasyarakat majmuk dari segi kaum, malah agamanya pun berbeza-beza.


Namun dengan keadilan ajaran Islam, jika ianya dilaksanakan kita yakin bahawa semajmuk mana sesuatu masyarakat sekalipun, keamanan pasti terjamin.
Menjaga kebajikan awam
Segala tindakan kerajaan dalam melaksanakan ajaran dan tuntutan Islam mestilah mengambil kira kemaslahatan awam.


Selain dari menjuruskan segala aktiviti social ke arah mengabdikan diri kepada Allah, kepentingan awam mestilah juga dijaga sebaik-baiknya.


Aspek-aspek seperti bantuan kemiskinan, pusat perubatan awam, biro pengaduan awam, bantuan pendidikan, pembinaan jalanraya, bekalan prasarana yang mencukupi seperti tenaga elektrik dan air mestilah dijadikan agenda utama dalam urusan pentadbiran dan dapat diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan.


Pihak kerajaan bertanggungjawab mempastikan setiap rakyat memiliki tempat tinggal yang selesa bersesuaian dengan kemampuan sesebuah keluarga.


Pembinaan rumah kos rendah yang mampu dibeli oleh setiap keluarga yang dikategorikan miskin mestilah dibina dengan cukup.


Pengurniaan tanah bagi mana-mana individu yang mengusahakannya mestilah dilakukan secara adil dan tidak membebankan serta mengikut keperluan sesebuah keluarga.


Keluarga yang besar tetapi hanya bergantung kepada imbuhan sibapa yang masih tidak mencukupi mestilah diberi bantuan sewajarnya.


Mana-mana individu atau keluarga yang tidak ada tempat pergantungan mestilah dikenal pasti dan dibantu oleh kerajaan.


Rumah-rumah atau tempat khas untuk warga tua dan anak-anak yatim yang miskin hendaklah disediakan dan diberi layanan yang istimewa. Pusat-pusat rawatan perubatan mestilah mencukupi dan mudah dikunjungi.


Skim bantuan perubatan mestilah merangkumi bantuan menggunakan peralatan canggih dankhidmat pakar agar masalah kewangan tidak menjadi penghalang kepada khidmat perubatan yang sempurna.


Sesuai dengan dasar pendidikan untuk semua, masalah yang berkaitan seperti buku teks, yuran persekolahan, yuran peperiksaan hendaklah ditangani agar ianya tidak membebani rakyat.
Biasiswa hendaklah ditadbir secara berkesan dan benar-benar membantu golongan pelajar yang kurang mampu dan tidak membebankan mereka setelah tamat pengajian seperti jadual bayaran balik, kontrak-kontrak dan sebagainya.


Masalah kemudahan asas seperti pengangkutan awam, jalanraya, bekalan elektrik dan bekalan air mestilah benar-benar berbentuk kebajikan yang menjadi tanggungjawab kerajaan.


Bayaran-bayaran seperti tol jalan, tariff elektrik dan air seharusnya tidak dijadikan sebagai sumber pendapatan negeri. Tidak ada maknanya dikategorikan sebagai keperluan asas jika masih terdapat golongan rakyat yang tidak mempu menikmatinya.


Selain dari kemudahan-kemudahan asas yang dinyatakan di atas, satu lagi bentuk kebajikan yang mesti dilaksanakan ialah kebajikan pegawai-pegawai kerajaan.


Beberapa keistimewaan dan insentif hendaklah disediakan kepada individu-individu yang berkorban menegakkan pemerintahan Islam samada buruh kasar, tenaga pengajar, anggota keselamatan, pegawai kolar putih dan golongan pentadbir.


Samada ianya dinamakan skim pencen atau gratuity. Ianya seharusnya memastikan kelangsungan hidup sesebuah keluarga setelah khidmatnya ditamatkan kerana usia atau hilang keupayaan.


Untuk menambahkan keselesaan hidup, kerajaan juga hendaklah menyediakan skim pembelian mudah kepada pegawai kerajaan dengan cara bayaran bertangguh tanpa cengkeram dan sebagainya.


Institusi kewangan hendaklah menyediakan skim bantuan seperti skim gadaian atau hutang perniagaan dalam bentuk hutang yang tidak dikenakan apa-apa bayaran tambahan.


Pihak kerajaan seharusnya memberi galakan kepada mana-mana individu yang mempunyai potensi untuk berniaga atau membuka perusahaan dengan memberi pinjaman dalam bentuk yangmudah.


Pemberian tender-tender hendaklah diagihkan secara adil dan peluang-peluang perniagaan dalam sektor berat seperti perkilangan dan pembuatan hendaklah dibuka kepada rakyat umum bukannya dibolot oleh pihak-pihak kerajaan yang dikendalikan oleh kroni-kroni pemerintah sahaja.


Kebajikan untuk golongan muda hendaklah diambil berat juga. Tenaga penggerak pembangunan ramai di kalangan para belia.


Pusat-pusat Latihan Kemahiran hendaklah disediakan bagi menyediakan para belia dengan berbagai kemahiran. Langkah ini bukan sahaja dapat menjuruskan para muda-mudi ke arah kerja-kerja bermanfaat, tetapi juga ia akan menambah peroduktiviti negeri dan seterusnya menjamin ke arah kehidupan yang sihat.


Tempat-tempat yang menjadi kunjungan para belia hendaklah disediakan. Kemudahan seperti padang-padang bola, kolam renang, lapang sasar sukan memanah, gelanggang-gelanggang badminton, sepak takraw, bola tampar, seni mempertahankan diri dan seumpamanya hendaklah mencukupi.


Ada pendapat mengatakan jika rosak belia maka rosaklah negara dan jika baik belia maka baiklah masa depan negara.


Sebagai langkah awal, pihak kerajaan mestilah mengenal pasti golongan muda-mudi yang rosak akhlak mereka seperti yang terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah, lepak dan sebagainya supaya dikumpul dan diberi pengisian yang sesuai agar diri mereka dapat dibaiki.


Bagi golongan yang berpotensi tinggi pula seperti yang bersyaksiyyah tinggi, berlatar belakang agama yang baik serta berkelayakan mencukupi hendaklah dikaderkan di pusat-pusat Tarbiyah dan Kepimpinan agar bakat kepimpinan yang ada pada mereka sentiasa diasah.


Mewujudkan jentera pentadbiran yang berkeupayaan


Matlamat ini adalah lainnya ialah untuk memastikan kelangsungan kerajaan Islam. Tanpa jentera kerajaan yang berkeupayaan, bila-bila masa ianya boleh dipermaikan oleh pihak musuh atau pihak pembangkang yang mengakibatkan kejatuhannya.


Pegawai-pegawai kerajaan juga mestilah berkeupayaan menangkis segala tohmahan-tohmahan musuh samada dengan cara berhujah dalam majlis-majlis dialog atau dalam bentuk penulisan.
Masyarakat kini yang semakin meningkat dari sudut keintelektualannya sentiasa menilai keupayaan pihak pemerintah menyusun jentera pentadbiran dalam melaksanakan dasar-dasar yang digariskan.


Yang lebih penting dari tanggungjawab di atas ialah penyebaran ajaran Islam dan perlaksanaan system pemerintahan Islam itu sendiri.


Islam yang maha lengkap ini benar-benar memerlukan tenaga yang berkeupayaan tinggi untuk memastikan segala tuntutan Islam terhadap sesebuah kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.


Jadi apa yang sebenarnya diperlukan ialah ‘Ulama’ yang intelektual dan intelek yang ‘alim’. Tugas yang dipikul oleh para pegawai kerajaan bukan sahaja sekadar mengetahui hukum hakam tetapi dapat mengaplikasikannya dalam era moden dan era globalisasi.


Isu-isu yang timbul mestilah dapat dianalisa dari sudut agama dan dikatikan dengan kehendak dan aspirasi Islam. Dengan ini maka masyarakat yang selama ini ragu-ragu dengan keupayaan Islam sebagai ugama yang sesuai untuk sepanjang zaman, pasti akan memperakui adaptabilitinya.


Olej kerana jentera kerajaan terdiri dari pegawai-pegawai yang sedia ada, yakni ‘Ulama’ yang kurang terdedah dengan ilmu-ilmu keduniaan dan para professional yang tidak mempunyai asas agama yang mencukupi, maka banyaklah kursus-kursus yang diperlukan untuk melengkapkan segala kekurangan.


Mungkin juga mereka diperlukan mendapat diploma dalam satu jangka masa yang tidak begitu panjang yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi secara separuh masa (part time), luar kampus (off kampus) atau jarak jauh (distant learning).


Antara langkah lain yang patut diambil ialah mengenal pasti tenaga professional yang sedia ada di semua peringkat dan menugaskan mereka di tempat yang sewajarnya.
Jika sesuatu bidang yang memerlukan penyelesaian segera dan pihak kerajaan masih tidak dapat menyediakan tenaga yang diperlukan maka pakar-pakar dari luar negara mestilah diundang di samping menghantar pegawai-pegawai untuk menjalani kursus jangka pendek di luar negara.


Penguasa-penguasa kerajaan tempatan di peringkat daerah-daerah hendaklah dipilih dari pegawai-pegawai yang benar-benar boleh menjalankan tugas sebagai seorang yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan tanah, kemajuan dan keselamatan kampung, keperluan semasa masyarakat dan mestilah juga mampu mentadbir hal ehwal keamanan dan keharmonian daerah yang ditadbirnya. Pegawai yang bertanggungjawab secara langsung kepada Setiausaha Kerajaan Negeri ini juga perlulah juga mengetahui potensi ekonomi yang terdapat di daerahnya untuk dimaju dan dikembangkan dan seterusnya dilaksanakan projek-projek pembangunan untuk menampung keperluan pekerjaan masyarakat setempat dan juga untuk menambah kekuatan ekonomi negeri.


CABARAN DAN HALANGAN


Antara halangan yang besar dalam usaha untuk melaksanakan pemerintahan secara Islam dalam sesebuah negeri ialah kekangan dan peruntukan perlembagaan.


Semua telah maklum bahawa mana-mana undang-undang atau akta yang hendak diluluskan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan sendirinya terbatal dan kita juga sedia maklum bahawa undang-undang tertinggi negara ialah Perlembagaan Persekutuan, bukannya Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.


Namun saya yakin bahawa di bawah peruntukan Pentadbiran Kerajaan Negeri (Jadual 9) yang membenarkan Kerajaan Negeri mentadbir Undang-undang Syariah, masih ada ruang untuk merealisasikan model yang dirangka.


Pihak Perundangan dan Guaman Parti telah meneliti dan membuat cadangan sebagaimana yang terdapat dalam kertas kerja yang dilampirkan.


Halangan kedua ialah kekurangan tenaga professional. Ramai yang menyangka bahawa jama’ah kita masih kekurangan tenaga professional kerana system pentarbiyahan kita kononnya tidak dijuruskan ke arah itu.


Namun saya berpendapat, dengan mengikuti perkembangan-perkembangan semasa dan usaha-usaha pengkaderan yang dilaksanakan selama ini, keperluan tenaga professional yang diperlukan dalam jentera kerajaan negeri adalah mencukupi.


Masalah ketiga adalah bekalan tenaga mahir. Oleh kerana kemahiran yang kita perlukan dalam mentadbir kerajaan dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang memerintah secara Islam adalah berlainan dari maksud kemahiran yang difahami dalam pentadbiran sekular, maka tenaga mahir yang sedia ada dirasakan masih tidak mencukupi.


Pihak kerajaan memerlukan sedikit masa untuk menyediakannya. Tenaga-tenaga yang berpotensi akan dilatih di pusat-pusat kemahiran secara intensif dan Insya’Allah masalah ini akan dapat diatasi.


PENUTUP


Kita yakin bahawa rahmat ALLAH datang bersama dengan penundukkan seorang atau kaum atau negara terhadap segala perintah-Nya walaupun dalam pelaksanaannya tiada seorang pun yang dikenakan hukuman – yang pentingnya undang-undang itu berkuatkuasa.


Insya’allah dengan beberapa langkah yang dicadangkan dan berbekalkan pegawai yang ikhlas ingin melihat kejayaan system pemerintahan Islam serta cita-cita luhur para pendokong perjuangan Islam yang sentiasa mendoakan kejayaan Islam dan umatnya dan sentiasa memberi sokongan dan bantuan dalam pelbagai bentuk, model kerajaan Islam yang ditasawwurkan akan dapat direalisasikan.

posted by warshan @ Thursday, September 20, 2007   0 comments
Saturday, August 18, 2007
KENAPA SAYA MENYERTAI PAS ?
بسم الله الرحمن الرحيم

Muqaddimah :

Jawapan kepada persoalan ini adalah suatu perjuangan yang perlu diisytiharkan dengan prinsip dan keyakinan , justeru ia bukan penyertaan politik parti dan kuasa .

Seorang yang beriman wajib berjihad mempertahankan syariat Allah dan memelihara maruah ummah dari ancaman musuh . Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan platform untuk melunaskan tanggungjawab tersebut . Kenapa …

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
( Ali - Imraan - 104 )

CIRI - CIRI PLATFORM JIHAD YANG WAJIB DISERTAI .

Jamaah yang menyakini bahawa Islam adalah satu - satunya kekuatan yang dapat membangunkan semula ummah , juga kembali membebaskan golongan musthad’afin dan menyelamatkan dunia daripada kehancuran

Jamaah yang lahir dari kesedaran sendiri , tidak dipengaruhi oleh mana - mana pihak samaada timur mahupun barat . Lahirnya kerana tuntutan Al - Quran dan Sunnah .

Jamaah yang meyakini kesejagatan Islam dan memperjuangkannya secara menyeluruh .

Jamaah yang memperjuangkan kebenaran secara amali ( tidak hanya teori semata - mata ) dan sanggup terjun ke medan daawah sekalipun mengambil risiko yang tinggi .

Jamaah yang terdapat padanya keperibadian hizbullah .

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ولا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
( Al Maidah - 54 - 56 )

Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka
Merendah diri sesama mukmin
Bersikap tegas terhadap orang - orang kafir
Berjihad di jalan Allah tanpa takut pada celaan orang yang mencela
Wala’ kapada Allah , rasul dan orang - orang yang beriman
Mendirikan solat , menunaikan zakat dan senantiasa ruku` kepada Allah.

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنْ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا ولا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).
( Al Jathiyaah - 18 )


Saya menyertai PAS kerana ………

1- PAS bersifat Rabbani dan syumul .

Rabbani :

· Islam sebagai dasar perjuangan.
· Bercita - cita menegakkan Daulah Islamiyyah dan melaksanakan hukum -hakam Allah .
· Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara .

Syumul :

· Memperjuangkan Syariah Islamiyyah yang merangkumi aspek politik , perundangan , hukum , sistem kemasyarakatan , pembangunan , ekonomi , hubungan antarabangsa , akhlak , tentera , pendidikan dan ehwal yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia .

· Membentuk tasawwur Islami yang jelas merangkai kehidupan di dunia dengan akhirat .


PAS sebagai Harakah Islamiyyah dan parti politik Islam .


· Islam sewajibnya diperjuangkan , pembentukkan Harakah Islamiyyah adalah untuk menunaikan kewajiban tersebut .

· Kuasa politik adalah keperluan asas dan mutlak bagi merealisasikan perundangan Islam dan pembentukkan perlembagaannya .

· Mengambil ruang dalam sistem demokrasi berparlimen yang membenarkan penubuhan parti politik dan aktiviti penerangannya .
· Mengambil pendekatan perjuangan yang selamat dan aman .
( مواجهة سلمية )

Disediakan oleh :

Haji Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
28 Dec 2001
posted by warshan @ Saturday, August 18, 2007   0 comments
about me

.."penyambung perjuangan..bukan pemula, bukan juga pengakhir..."
previous
archives
comments

Blog Friends

News

Islamik
TV PAS
 
Aspirasi